



Tentang Cinta (LOVE)
Segalanya Tentang Cinta
Cerpen Cinta : Sirna Cita, Tulus Cinta
June 18th, 2007
Karya: Erma Amiera
“Kak! surat!’ Terlepas jeritan kecil bersama derap buku-buku rujukan berlaga di dada lantai. Baru hendak melangkah keluar dari kelas bersama Midah tiba-tiba sahaja aku telah diterpa oleh Shazwan. Dia memang selalu begitu.
“Nak suruh akak mati cepat ke? Kurang asam betullah adik ni”, bentakku sambil duduk mencangkung untuk mengutip buku-buku yang bertaburan. Aku pasti Shazwan mesti berniat untuk menyakat aku seperti kebiasaannya yang dilakukannya. Geram betul aku dengan adik angkat kesayanganku ini.
“Maaflah kak. Wan betul-betul tak sengaja. Wan nak cepat sebenarnya,” Segera wajah comel itu kutatap. Kasihan pula melihat dirinya yang serba salah. Aku yang lemah semangat, adik aku pula yang jadi mangsa.
“Tak boleh lama ni, dia kirim salam. Wan balik dulu ye!” Sampul warkah berwarna kuning air bertukar tangan. Tersekat suaraku di kerongkong apabila Shazwan terus bergegas mendapatkan bas sekolah yang sudah berkali-kali membunyikan hon amaran.
“Dia?”
Warkah yang berada di pegangan kurenungi tajam sambil fikiran ini ligat berputar. Kuning air! Ah! Pemuda itu!
“Kenapa? Syameer ye?”
Aku mengangguk lesu. Memang Midah telah mengetahui segala-galanya tentang Syameer. Tidak sedikit pun aku lindungkan dari pengetahuan teman rapatku itu mengenai Pelajar Tingkatan 6 Atas yang tidak jemu-jemu mencuba untuk memenangi hatiku. Dan seperti biasa Midah mula memberi ceramah percuma di atas sikapku yang terjal menolak salam perkenalan dari pemuda itu.
Apa yang kurang? Selalu Midah bertanya begitu. Entahlah. Wajah dan perlakuannya yang sentiasa tenang memang cukup sempurna di mataku. Apatah lagi kecemerlangannya dalam akademik dan sukan terserlah walaupun baru berpindah ke sekolah ini. Cuma, hatiku sahaja yang kurang. Kurang kerana sebahagiannya telah dicuri oleh seseorang yang kusayangi…Zaihan…
————————-
Peristiwa lima bulan lepas masih segar di ingatan. Kalaulah aku tahu kesilapanku itu bakal mengundang episod huru-hara dalam perasaan ini..sumpah! Memang aku akan elak dari melakukannya. Tapi, segala-galanya telah ditakdirkan. Waktu itu perasaan aku bercampur-baur antara geram, bosan dan gelisah.
Hampir dua jam aku menunggu pujaan hatiku di Holiday Plaza untuk menonton wayang. Puas aku ke hulu ke hilir macam kucing nak beranak tapi kelibat Zaihan masih tidak kelihatan. Perut yang berlagu merintih untuk diisi membangkitkan rasa sakit hati. Suasana di luar mulai kelam menandakan Maghrib menginjak. Tiada pilihan, aku berlalu menuju ke KFC, restoran makanan segera kegemaranku. Di dalamnya orang ramai sesak memenuhi ruang. Dulang yang kutatang tiada arah destinasi. Semua meja penuh kecuali…Ah! Bolehlah, janji dapat makan.
“Boleh saya duduk sini?” Tanpa menunggu persetujuan dari pemuda bertopi yang asyik meratah ayam, aku terus melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengannya.
Secebis senyuman kuhulur dan terus menikmati makanan yang kupesan tanpa berkata sepatah. Pelik, pemuda itu langsung tidak terkejut malah tersenyum manis memandangku. Aduhai! Kacaknya….
Ah! Peduli apa dengan kacak, kau tu tengah sakit hati tau tak! Segera aku menyumpah diriku dalam hati apabila menyedari senyuman pemuda itu sedikit menggoncangkan perasaanku. Terkocoh-kocoh aku cuba menghabiskan ayam goreng yang tidak dapat aku hayati kelazatannya di ketika itu. Tiba-tiba sesuatu yang tidak disangka-sangka telah menyebabkan aku tersedak. Dia menegur kerana aku makan terlalu laju dengan memanggil nama penuhku..Nurlisa Idayu! Berderau darahku mendengar kalimah itu.
Mana pemuda itu tahu namaku? Dia tersenyum lebar seraya menampakkan lesung pipitnya di kedua-dua belah pipi, aduhai! Memang memikat. Memikat??
Ahh! Kepala otak aku senget agaknya hari ini. Sunguh-sungguh aku terkejut apabila dia mengetahui segalanya tentang aku. Tentang kemerosotan pelajaranku, tingkah lakuku, segala kegemaranku, malah ‘hubungan mesra’ antara aku dengan Zaihan pun dia tahu. Itulah yang aku pelik.
Dari mana dia tahu? Bertambah pelik apabila dia dengan selamba menyatakan hasratnya untuk berkawan lebih rapat denganku. Aku pun apa lagi, naik anginlah. Dia ingat kita ni siapa senang-senang nak goda? Salah oranglah!
Terus sahaja aku berlalu meninggalkan dirinya yang cuba untuk berkata sesuatu. Aku tak peduli. Jelas dia telah mengetahui hubunganku dengan Zaihan malah yang buruk-buruk tentang aku pun dia tahu tapi kenapa dia masih nak? Ah? Pening kepala aku dengan tingkahnya.
Sejak hari itu, Syameer tidak jemu-jemu mencuba. Suart, pelbagai cara digunakan untuk disampaikan kepadaku. Salam, enath siapa-siapa sahaja menjadi suruhannya untuk dikirimkan kepadaku. Dan setakat hari ini, tiada satu surat pun yang pernah kubaca dan salamnya pun kusambut hanya di dalam hati.
Biar dia marah, biar dia hampa. Aku tak peduli apa yang dia rasa. Yang penting aku akan memastikan bahawa aku adalah pencinta yang setia. Midah selalu jadi saksi.
————————-
Peperiksaan SPM semakin hampir menjejak tiba.
Aku mula menumpukan sepenuh perhatianku terhadap pelajaran. Zaihan juga sudah lama tidak kutemui. Permintaan darinya sendiri yang sanggup berkorban menahan rindu semata-mata memberi laluan kepadaku agar lebih selesa untuk menelaah pelajaran. Terasa benar diri ini disayangi. Namun takdir Tuhan memang tidak terduga. Suatu hari di hujung minggu, secara tidak sengaja aku telah menyaksikan satu sandiwara yang selama ini langsung tidak terlintas di fikiranku. Kalau tidak kerana buku rujukan yang Midah pinjam belum dipulangkan, aku tidak tahu langsung bahawa selama ini Midah punya teman ’study’ baru.
Pelik mendengar penjelasan ibu Midah bahawa temanku itu pergi ke rumahku untuk sama-sama mengulangkaji pelajaran sejak dua jam yang lepas. Tergagap-gagap aku mengalaskan kata ibu Midah yang tidak menyedari keadaan yang sebenarnya.
Pada mulanya aku fikir tentu Midah singgah ke rumah kawanku yang lain atau ke sekolah bagi menyiapkan tugasannya menyelia Bilik Kaunseling. Segala tanggapanku ternyata salah sama sekali sebaik sahaja melihat kemesraan 2 merpati sejoli melangkah seiringan sambil berpegangan tangan di Plaza CS. Entah bagaimana hatiku tergerak untuk ke sana. Dan tidak kusangka bahawa sandiwara inilah yang dapat aku saksikan di kala itu! Semangatku melayang jauh. Berderai air mataku saat itu juga.
‘Midah dan Zaihan’. Dua insan yang amat aku sayangi sanggup mengkhianati diriku. Sampainya hati mereka! Kristal cinta yang selama ini indah menghiasi takhta perkasihan pecah berderai menjadi serpihan kaca yang tajam menikam. Lantas mengalirlah darah pada sekeping hati yang pedih terluka milikku.
———————–
Alhamdulillah….akhirnya berjaya juga aku menjejakkan kaki ke menara gading dan sekaligus meraih kejayaan di atas segala usaha serta pengorbananku selama ini. Sejurus berjaya menamatkan pengajianku di IPT, aku mendapat tawaran untuk menjawat jawatan yang agak tinggi di sebuah syarikat penerbitan di bandar raya ini.
Syukurlah kerana segala usaha aku selama ini telah menunjukkan hasilnya. Sesungguhnya aku bersyukur kepada Yang Maha Esa. Walaupun keputusan SPM ku agak teruk gara-gara nanar diulit kekecewaan, semangatku kembali pulih dengan membaca barisan kata azimat yang disusun ringkas pada setiap warkah Syameer yang selama ini tidak pernah kuendahkan.
‘Hidup ini hanya akan indah jika sirna cita dan tulus cinta diganding seiring’ ~ Syameer
Aku malu sendiri kerana selama ini menyangka Syameer ingin memikat hatiku sedangkan definisi tindakannya jauh menyasar. Yang pasti salam perkenalan yang dihulur, menyedarkan diriku bahawa keindahan rasa yang membelai jiwaaa seharusnya dijadikan inspirasi untuk berjaya. Bukannya khayal dalam keasyikan irama cinta hingga mengabaikan tanggungjawabku sebagai seorang pelajar.
———————-
Dan kini bahagia lebih menghuni rasa sebaik sahaja aku dan Syameer yang telah kupanggil ‘abang’ selamat diijabkabulkan pagi tadi setelah bertunang selama 3 bulan.
Tanggal 25 Disember sengaja kami pilih untuk hari bersejarah ini bersempena detik pertama perkenalan di antara aku dan Syameer.
Warkah bersampul ungu di atas bantal dalam bilik pengantin yang berhias indah ini kurenung sayu. Aku tahu siapa pengirimnya, tapi mungkinkah dirinya dilamar kecewa senada dengan lambang warna yang menjadi pilihannya itu?
Adik angkat aku Syazwan menghulurkan warkah itu sebaik sahaja aku dan Syameer selamat disandingkan petang tadi. Tidak kusangka sama sekali ‘title’ adik angkat kini bertukar menjadi adik ipar.
Barulah terungkai persoalan bagaimana Syameer boleh mengetahui segala-galanya tentang diriku sewaktu bersekolah dahulu. Memang bijak dua beradik itu merahsiakan dariku. Perlahan pandanganku menterjemah ayat yang terukir indah di dada kertas berbau harum itu.
Ayu, Selamat Pengantin Baru..Sengaja aku tidak hadir meraikan hari bersejarahmu kerana rasa bersalah dalam diriku langsung tidak dapat kuusir. Mungkinkah inilah balasan Tuhan atas perbuatanku yang sanggup menikammu dari belakang. Aku mengkhianatimu, Ayu. Mengkhianati persahabatan kita! Dan kini hatiku berteman lara biarpun impianku menjadi suri hidup Zaihan terlaksana. Cintanya…bukan hanya untuk diriku seorang. Doa setulusnya kuhulurkan sebagai hadiah agar dirimu sentiasa berbahagia di samping Syameer hingga ke akhir hayat. Untukku, cukuplah dengan meredai kelukaan di hati akibat daripada perbuatanku sendiri.
Yang Selalu Merindu,
Midah
Air jernih mengalir membasahi di pipi . Tenyata jauh di sudut hatiku, aku juga merindui dirinya. Sejak peristiwa pahit itu berlaku, ternyata kami langsung tidak pernah bertegur sapa lagi. Begitu juga dengan Zaihan. Masing-masing seolah-olah mahu melupakan peristiwa pahit itu.
Tetapi tiada lagi api dendam merajai hati ini terhadap mereka yang pernah menyakiti hatiku suatu ketika dahulu. Saban hari aku menjadi semakin kuat untuk berhadapan dengan dugaan sebegini. Aku reda dengan segalanya yang telah berlaku. Dan aku pasrah menadah tangan apabila kenangan lalu kadangkala menyapa memoriku. Malah aku juga memanjatkan doa kesyukuran yang tidak terhingga kepada Yang Maha Esa kerana di sebalik kejadian itu tersisip hikmah yang tidak ternilai.
Hikmah yang menganugerahkan sebuah penghidupan lebih bermakna dan bahagia yang kini menjadi milikku. Kini aku benar-benar bahagia dengan anugerah dari Ilahi ini. Sirna cita dan tulus cinta menerangi indah mahliagai perkasihanku kini dan moga ia berkekalan buat selama-lamanya. Akan kulakukan yang terbaik demi kebahagiaan aku dan dia.
Terima kasih Tuhan di atas kurniaanMu ini dan seorang insan bernama Syameer itu akan setia kucintai selagi ada hayat dikandung badan. Aku yakin hubungan perkasihan yang tulus dan suci ini adalah milik kita berdua untuk selamanya….
Simpanlah Keranda Ini
June 17th, 2007
Lelaki tua itu semakin lemah. Kudratnya sudah tiada. Segala sendinya kejang dan lemah. Penyakit demi penyakit bersarang ditubuhnya membuatkan lelaki tua itu tidak mampu lagi untuk berdiri. Setiap hari yang termampu dilakukan hanyalah berbaring dan membilang baki hari yang akan dilaluinya.
Keadaan lelaki tua itu menjengkelkan anaknya. Anak muda itu mengeluh kerana setiap hari sejak beberapa bulan bapanya terlantar, hanya dia seorang sahaja terpaksa berladang dan menjaga binatang-binatang ternakan.
Penat berladang, pulang ke rumah dia terpaksa pula memasak, membasuh, mengemas rumah serta membantu bapanya yang tidak mampu menguruskan diri sendiri. Paling dibenci anak muda itu ialah mengurus kencing berak bapanya, lantaran si ibu sudah beberapa tahun meninggal dunia.
“Ah! Tak guna langsung, menyusahkan saja…” Keluh si anak yang tidak sanggup lagi menanggung beban menguruskan ayahnya. Kesabarannya hilang. Dia tidak mahu menggalas beban itu lebih lama lagi.
Suatu hari si anak membuat satu keranda daripada kayu dan membawanya balik ke rumah. Ketika itu ayahnya sedang tidur. Tanpa melengahkan masa anak muda itu terus mengheret keranda ke bahagian anjung tempat ayahnya sedang berbaring. Perlahan-lahan tubuh tua ayahnya diangkat dan diletakkan ke dalam keranda kayu. Kemudian, ditutupnya keranda itu.
Anak muda itu mengheret keranda tersebut sehinggalah ke tebing sebuah gaung yang dalam dan dipenuhi bongkah batu. Segala-galanya akan berakhir sebentar lagi. Tetapi sewaktu hendak menolak keranda itu ke dalam tebing gaung, tiba-tiba dia terdengar bunyi ketukan yang lemah dari dalam keranda.
Lalu anak muda itu membukanya. Dalam keadaan terbaring lemah, lelaki tua memandang tepat ke dalam mata anaknya. “Ayah tau kau nak tolak ayah dari tebing ini..”Begitu payah si bapa mengeluarkan suaranya.
“Boleh..kau boleh lakukannya tapi…ayah ada satu permintaan..” Sambung lelaki tua itu dengan suara tersekat-sekat menahan sebak di dada. Si anak mengangguk, menyuruh bapanya meneruskan kata-kata.
“Kau boleh tolak ayah dari sini jika kau mahu..tapi simpanlah keranda ini baik-baik sebab anakmu juga akan memerlukan keranda ini suatu masa nanti…” sambung si bapa.
—————————————————-
Moral: Sebagai anak, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga ayah dan emak ketika mereka sudah tua atau memerlukan. Jasa dan pengorbanan mereka sangat besar dan tak terbalas oleh kita. Hargailah mereka dan sayangilah mereka selagi mereka masih hidup…
Selamat Hari Bapa!
Rama-Rama ~ Ella
June 16th, 2007
Seumpama rama-rama
Terbang bebas di udara tanpa ada halangan
Aman damai suka-suka, riang ria
Tanpa ada rasa duka sengketa
Rama-rama
Ekspresi dirimu menawan hatiku
Ingin aku terbang bersamamu
Melihat kerenah melihat telatah
Manusia yang sering terlaga.
Ekspedisi ini bagai tiada henti
‘Kan menjadi antologi diri
Terhentilah mimpi terhapuslah sepi
Sanubari yang lebih berani
Terminal yang pasti satu fitrah hati
Kerana yang sejati tiada kekal lagi
Terbanglah ke sini mencari abadi
Terbanglah ke mari mencari hakiki
Seumpama rama-rama
Melewati panorama yang penuh warna warni
Taman bunga taman damai
Dengan aksi lincah berputik hidup yang harungi
Rama-rama
Vokal: Ella
Lagu/Lirik: S Fauzan/Azam Dungun
Untuk download lagu Rama-rama ~ Ella sila klik Rama-rama.mp3
Cinta: Ayat-Ayat Cinta
June 15th, 2007
Anda tidak sakit sewaktu jatuh cinta kerana anda tidak jatuh.
Cinta mudah dilahirkan melalui perbuatan daripada kata-kata.
Di mana ada cinta, di situlah ada derita, pengorbanan, cemburu dan air mata.
Cinta seperti bunga mawar, harum tetapi dikelilingi duri.
Percintaan seperti permainan badminton, kedua-duanya saling tipu-menipu.
Cinta berakhir dengan rumahtangga tetapi nafsu hanya mampu membina rumah.
Cinta tidak mungkin mengalir daripada hati yang kecewa.
Cinta tidak mengedut atau mengendur. Yang mengedut atau mengendur adalah kulit kita.
~ T. Alias Taib
Cinta ~ Amy Mastura
June 15th, 2007
Jika ditanya tentang cinta
Macam-macamlah jawapannya
Ada cinta yang bawa ceria
Ada cinta yang sanggup merana
Sanggup berkorban apa saja
Hilang kawan hilang keluarga
Lebih baik cinta pada yang Esa
Tentunya kitakan selamat selamanya
Hidup ini penuh pancaroba
Kiri kanan masalah saja
Janganlah derita kerana cinta
Kerna cinta bahagia
Kalau benar cinta itu buta
Siapakah jadi bangsanya ?
Kalau cinta itu cinta setia
Nangis ketawa sama hahaha
Kalau kita boleh beli cinta
Berapa pula harganya ?
Alangkah indah kita dicinta
Kerana hidup kita lebih bahagia
Untuk download lagu Cinta ~ Amy Mastura, sila klik Cinta.mp3
—————
Lagu ni memang happy je bila dengar. Amy Mastura memang sinonim dengan lagu rentak happy macam ni..
Gambar Pernikahan Pak Lah
June 14th, 2007
HARI BAHAGIA… Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi disarungkan cincin oleh isterinya Datin Seri Jeanne Abdullah semasa majlis akad nikah di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di Putrajaya.
Foto: Shahrizan Jeffri Aziz
Lima Cara Pulih Merana
June 14th, 2007
Lazimnya wanitalah yang akan terasa dan kecewa setiap kali gagal bercinta. Namun akhirnya ramai yang gagah mengatasinya dengan cara mereka sendiri. Berikut adalah petua yang dikatakan mampu memulihkan semangat anda untuk meneruskan perjuangan hidup tanpa si dia.
1) Jangan menghubunginya lagi. Padamkan terus nombor telefonnya,dapatkan kad sim baru bagi memastikan dia tidak menelefon anda semula. Buatlah sesuatu yang berfaedah dan positif dalam mengisi masa.
2) Lakukan senaman seperti berjalan kaki,berenang mahupun melakukan aktiviti-aktiviti fizikal di gimnasium.Selain menyegarkan minda, anda akan mendapat ramai kenalan baru.
3) Keluar saja dari rumah pada hujung minggu bersama keluarga atau sendirian. Ini boleh dilakukan dengan mengunjungi pameran, menonton wayang mahupun ke kompleks membeli-belah.Terperap di bilik akan membuat anda lebih sengsara apa lagi kalau memencilkan diri dari dunia luar.
4) Telefon sahabat dan keluarga terdekat juga adalah satu terapi yang baik.Apa lagi dikelilingi oleh mereka yang mengambil berat mengenai diri dan membuat anda berasa selesa.
5) Hias semula bilik tidur dengan susun atur yang berbeza termasuk menyimpan segala benda yang boleh mengingati si dia semula. Bekerja dengan lebih tekun agar minda sentiasa bekerja dan tidak hanya memikirkan kekasih lama.
Selamat Mencuba.
Cerpen Cinta : Cemburu
June 13th, 2007
Nukilan: Mayang
Alia nampak dengan jelas, gadis itu keluar dari perkarangan rumah Ikwan. Alia juga nampak Ikwan menghantar gadis cantik itu dengan lambaian dan senyuman yang ranum. Kata Ikwan, gadis itu adalah kawan kecilnya. Tapi sejak gadis itu datang, Ikwan kian menjauh darinya, Ikwan kerap keluar bersama gadis itu. Hati Alia sakit!
Ikwan jarang menelefonnya kini. Malah, kalau Alia call di rumah, selalu saja keluar. Handsetnya juga selalu suruh tinggalkan pesanan suara saja, bila ditanya kenapa, kata Ikwan habis bateri. Takkan sepanjang minggu habis bateri? Kalau dapat call pun Ikwan cakap sikit saja dengannya. Seolah tidak ada lagi topik yang menarik hendak di kongsikannya bersama Alia. Alia rasa bahang perubahan sikap Ikwan. Gara-gara kehadiran gadis cantik yang pulang dari London itu. Kononnya kawan lama, entah-entah kekasih lama!
“Gadis tu kan baru je datang dari luar negara, lagi pun mereka memang sahabat rapat dari kecil, memanglah banyak yang nak dibualkan setelah sekian lama tidak berjumpa.” Alia mahu percaya kata-kata Nina yang memujuknya itu. Tapi cemburu dihati Alia masih juga meronta-ronta tak mahu kalah. Tak boleh jadik nih!
“Tapi Nina.. Wan dah berubah! Dia macam dah lupakan Lia.. macam dia dah malas nak jumpa atau sekurang-kurangnya berbual dengan Lia.. sejak kedatangan kawan baiknya yang cantik tu!” Geram Alia bila teringatkan gadis itu. Sakit hati Alia bila terbayang wajah cantik itu. Memang dia benar-benar cantik! Hidungnya lebih mancung dari Alia, kulitnya putih dan halus. Bukan seperti Alia yang berkulit sowo matang. Matanya besar dihiasi bulu mata yang panjang dan lentik serta keningnya hitam lebat. Pipinya gebu dan licin macam kulit tomato. Bibirnya mungil dan merah jambu tanpa perlu disapu gincu. Rambutnya pula panjang lurus separas dada. Hati lelaki mana yang tidak tertawan. Alia tahu beza antara dia dan gadis itu bagaikan langit dengan bumi.
Alia pandang ke dalam cermin, pantulan dari cermin memaparkan wajahnya yang masam mencuka. Dia lihat keningnya yang nipis, matanya yang kecil dan bulu mata yang pendek. Kulitnya tidak sehalus dan segebu gadis itu. Bibirnya pucat saja. Kalau tidak memakai gincu langsung tidak menarik. Alia mula bencikan rupanya! Dia ingin kelihatan cantik, lebih cantik dari gadis itu!
Alia bandingkan pula dirinya dengan gadis itu, dia hanya mendapat Diploma dalam bidang Pengurusan dan sekarang jadi kerani biasa di sebuah syarikat swasta. Gadis itu pula baru habis belajar di luar negara dengan gelaran Sarjana Muda Undang-undang. Kalau dapat kerja nanti, pasti gajinya menjangkau angka dua ribu. Ah! Gadis itu umpama permata yang berharga, manakala Alia bagai pasir yang bertaburan dijalanan. Alia mengeluh lagi.
“Pasti Ikwan tidak berminat untuk bersamaku lagi.. Ikwan sudah menjumpai gadis yang sesuai dengan dirinya..” kata Alia sendirian. Alia sedar, Ikwan tidak setaraf dengannya, lelaki itu berkerja sebagai Timbalan Eksekutif di syarikat ibunya. Mereka adalah golongan berada, bukan macam Alia yang sederhana. Namun hati Alia masih berharap, dia berharap Ikwan akan kembali mesra seperti dulu. Alia ingat perkenalan mereka yang singkat tapi bermakna.
“Encik Haris ada?” itulah kata-kata Ikwan ketika masuk ke pejabatnya untuk menemui bos Alia, yang merupakan pelanggannya.
“ Emn.. dia keluar sekejap! Ada apa-apa yang saya boleh bantu?” ujar Alia sambil mengkagumi rupa paras lelaki yang berdiri didepannya. Ikwan kacak sekali. Senyumannya lembut dan suaranya lunak.
“Emn.. tak apalah! Biar saya tunggu dia..”
“Oh.. kalau begitu.. silakan..”
Ikwan duduk di meja menunggu yang menghadap meja Alia, Alia sesekali melirik pada Ikwan yang membelek-belek majalah yang tersedia di atas meja itu. Bila sedar dirinya diperhatikan, Ikwan melemparkan senyuman menawannya. Alia jadi tersipu malu. Tidak lama kemudian bosnya Encik Haris kembali. Ikwan segera masuk ke bilik pejabat Encik Haris.
Waktu tengahari, Alia turun makan di restoran berhampiran, ketika Alia menunggu pesanannya, tiba-tiba satu suara menyapa.
“Boleh saya join kamu?”
Alia agak terkejut bila melihat Ikwan berdiri di tepi mejanya.
“Semua meja telah penuh..” ujarnya lagi dengan senyumannya yang mencairkan hati Alia. Alia agak tergagap tetapi mempersilakan Ikwan duduk semeja dengannya. Mereka mula berbual dan memperkenalkan diri masing-masing. Mula-mula perbualan mereka agak lembab, tapi Ikwan pandai berjenaka. Alia tak henti-henti ketawa dibuatnya. Ikwan menyerahkan kad namanya pada Alia, dia juga membayar semua harga makanan.
“Terima kasih, belanja saya makan..” ujar Alia sebelum mereka berpisah.
“Call saya kalau ada masa..” laung Ikwan sebelum pergi. Alia menggangguk. Hatinya berbunga riang.
Sejak hari itu, mereka kerap berhubung. Ikwan selalu bercerita tentang apa saja dengannya. Ikwan akan meluahkan apa saja yang ingin dikongsikannya pada Alia. Lama kelamaan hubungan Alia dengan Ikwan menjadi erat. Putik-putik cinta bersemi. Ikwan melamar cintanya pada hari lahirnya yang ke dua puluh lima tahun. Dengan sejambak bunga, kek harijadi dan seutas rantai. Alia tidak akan lupa betapa bahagianya hati wanitanya hari itu. Bagaikan seorang puteri yang mencapai impiannya.
Tapi itu dulu, sebelum kehadiran gadis cantik yang baru pulang dari luar negara. Kini Ikwan semakin sibuk. Dia tidak ada masa untuk menghubungi Alia. Dia sudah ada teman lain untuk berkongsi cerita mahu pun masalah. Kalau dulu, Alialah tempat mengadu bila hatinya resah atau terlalu penat dengan kerja, kini ada gadis lain yang mengambil alih peranan itu. Alia semakin terkilan.
***************
Alia tidak menghubungi Ikwan lagi selepas dia ternampak gadis itu keluar dari rumah Ikwan. Alia tidak mahu menjadi muka tembok yang tidak tahu malu. Biarlah Ikwan menghubunginya jika lelaki itu masih ingat padanya. Alia ingin menganggap hubungannya dengan Ikwan sudah berakhir.
Dia mengambil keputusan itu setelah memikirkannya masak-masak. Walau pun tiada kata putus antara mereka, Alia lebih rela daripada mendengar kata perpisahan dari mulut Ikwan. Namun setelah dua minggu, Ikwan tidak juga menghubunginya. Hati Alia semakin remuk redam.
“Hai Lia.. mendung je muka kamu kebelakangan ni..” Sapa Harun, rakan sekerjanya.
“Kau jangan sibuklah!!”
“Eh! Marah?” Sakat lelaki itu lagi. Alia tarik muka masam. Dia memang selalu bermuram durja gara-gara hubungannya dengan Ikwan yang dingin itu.
“Aku bukan apa Lia.. tapi sebagai kawan, aku kesian juga tengok kau ni.. badan pun dah susut.. kau makan hati ya?”
Harun bersuara lagi. Alia tantang muka Harun dengan tajam. Dia tidak suka orang lain masuk campur dalam hal peribadinya.
“Aku dah lama tahu hubungan kau dengan Encik Ikwan tu.. aku rasa baik kau lupakan saja dia tu.. aku rasa kau pun tahu, Helina sudah balik dari luar negara. Si cantik tu akan bertunang dengan encik Ikwan tak lama lagi.” Lancar benar Harun menceritakan hal itu. Darah Alia rasanya tersirap hingga ke umbun-umbun. Dia tidak menyangka hubungan Ikwan dengan gadis cantik itu sudah sampai ke tahap bertunang.
“Dari mana kau dapat tahu semua ni Harun?” tanya Alia was-was. Betul ke budak Harun ni? Banyak sangat dia tahu tentang Ikwan.
“Kau hairan? Aku sepupu Helina, memang la aku tahu banyak tentang dia dan Ikwan..” Sahut Harun dengan yakin. Alia tertunduk, matanya mulai terasa panas. Ada manik-manik jernih yang bertakung dibibir matanya. Sampai hati Ikwan!
Hendak bertunang pun Ikwan tidak memberitahunya.
“Mereka dijodohkan oleh keluargakah?” tanya Alia lagi. Dia berharap Ikwan berbuat demikian kerana terpaksa. Alia enggan menerima hakikat kalau Ikwan benar-benar mengkhianati cintanya!
“Sudahlah Alia.. jangan berharap lagi! Helina tu memang kekasih dia.. sebelum kau bersama Ikwan lagi.”
Hati Alia hancur berkecai mendengar kebenaran itu. Jadi selama ini Ikwan menipunya. Selama ini dialah pihak ketiga. Dia hanya sebagai boneka Ikwan kala Helina tidak ada bersama. Cuma sandaran sementara saja! Patutlah Ikwan tidak memperkenalkannya pada Helina bila Helina baru pulang. Ikwan kata kawan sepermainannya dari kecil lagi baru pulang dari luar negara. Tapi sedikit pun dia tidak bersuara untuk memperkenalkan Alia pada gadis itu, jadi memang benarlah Helina adalah kekasih lama seperti jangkaan Alia!
Sakit hati Alia terasa semakin dalam. Jantungnya seakan ditikam-tikam dengan pisau yang amat tajam. Dia benci Ikwan. Dia benci Helina! Mengapa mereka melukakan hatinya. Mengapa Ikwan mencambahkan cinta dihatinya, tapi kini dengan kejam membunuh cinta itu tanpa belas kasihan!
“Kenapa dia tidak beritahu aku?” kata Alia seolah-olah bertanya pada Ikwan.
“Entahlah Lia.. dia mungkin takut kau akan berjumpa Helina dan mengaku sebagai kekasihnya.. pasti hubungannya dengan Helina akan terjejas jika itu berlaku..”
Ada benarnya juga kata-kata Harun itu, patutlah Ikwan enggan dihubungi. Dia takut rahsia hubungannya dengan Alia terbongkar.
“Harun.. aku nak cuti setengah hari, hari ini.. tolong bagitau Encik Haris, katakan aku tak sihat..” Alia mengemas mejanya. Dia ingin pulang ke rumah dan menangis sepuas-puasnya. Dia ingin meraung dan menjerit untuk melepaskan kesakitan yang sarat berbuku didadanya. Harun mengangguk. Dia kelihatan amat bersimpati dengan Alia.
Alia segera mengambil telefon bimbitnya dan mendail nombor Zarul, adik sepupunya. “Kakak ni.. tolong ambil kakak di pejabat!” kata Alia sebaik saja talian disambungkan.
“Ai! Awalnya.. ada apa hal kak?”
“Kakak tak sihat hari ni.. kau di mana sekarang?”
“Saya masih di bandar ni.. ada temuduga pukul 11.00 a.m., habis temuduga nanti saya ambil kakak macam mana?”
Alia mengeluh. Dia ingin segera pulang ke rumah. Tapi Zarul pula sibuk. Adik sepupunya itu baru tamat belajar dan sedang mencari kerja. Dia dihantar dari kampung oleh ibubapanya untuk tinggal bersama Alia sementara mendapatkan pekerjaan. Zarul akan menghantar dan mengambilnya dari kerja setiap hari. Alia baru saja membeli sebuah kereta kancil tapi dia tidak mempunyai lesen memandu. Nasib baiklah Zarul sudah mendapatkan lesen memandu, secara tidak langsung Zarul menjadi pemandu sementara kepada Alia yang baru memohon lesen memandu dan masih dalam proses pembelajaran.
“Tak apalah! Kakak naik bas saja..”
“Eh! jangan lah..! Zarul datang sekarang..”
“Kan kau nak temuduga.. nanti terlewat pula.. sekarang dah pukul 10.30 a.m..”
“Alah.. masih sempat!” Talian terus diputuskan. Alia mengeluh. Zarul berkeras mahu menghantarnya pulang meski pun dia ada temuduga. Alia terpaksa menunggu. Beberapa minit kemudian terdengar bunyi hon di luar. Alia segera keluar dan masuk ke perut kereta.
“Tengok.. sudah pukul 10.40am.. mana sempat!” ujar Alia sambil menunjukkan jam tangannya pada Zarul.
“Sempat.. bukannya jauh!” balas Zarul sambil ketawa kecil.
“Ha.. nak bawa laju lah tu! Zarul.. kakak rasa baik Zarul pergi tempat temuduga tu, kakak tunggu di kereta.” Cadang Alia.
“Emn.. idea yang baik..” Zarul setuju. Kereta segera meluncur ke tempat yang dituju.
“Eh! Kau temuduga di sini?”
Zarul angguk. Alia kenal benar dengan bangunan itu. Bangunan itu adalah milik ibu Ikwan. Jadi Zarul pergi temuduga di syarikat milik keluarga Ikwan. Alia benar-benar tidak senang hati!
“Zarul kejap saja.. kakak tunggu ya!” Zarul bergeges masuk ke dalam bangunan itu.
Alia mendengar radio sementara menunggu Zarul masuk ke dalam. Tiba-tiba sebuah kereta masuk parking benar-benar di sebelah keretanya. Alia macam kenal kereta itu, dia menoleh memandang pemandunya. Alia tersentak, Ikwan! Lantas Alia berpura-pura tidak melihat Ikwan. Alia menundukkan kepalanya sambil membaca surat khabar yang dibeli Zarul. Bila Alia sudah pasti Ikwan telah pergi barulah Alia tercangak-cangak mencari kelibat lelaki itu. Perasaannya bercampur baur. Dia pun tidak tahu mengapa dia mengelakkan diri dari bersemuka dengan Ikwan. Biarlah hubungan mereka berlalu bagai angin yang datang menyapanya untuk seketika. Rasanya tak perlu lagi Alia hendak berperang besar dengan Ikwan atau Helina. Alia sedar siapa dirinya. Kalau nak rajuk biar pada yang sayang, kalau orang dah tak sudi buat apa Alia nak terhegih-hegih menagih perhatian Ikwan. Namun jauh di sudut hati Alia, dia merasa cukup pedih dan sengsara. Cinta yang mekar di hatinya itu bukannya mudah hendak dibuang dalam sekelip mata!
Ketika dia sibuk merenungi nasib diri, tiba-tiba Zarul muncul mengetuk cermin kereta. Di belakangnya kelihatan Ikwan yang memandangnya dengan wajah penuh misteri. Alia segera membuka tingkap.
“Kakak.. saya telah diterima bekerja di sini.. emn! Ni lah bos saya.. katanya nak jumpa kakak..” kata Zarul sambil tersenyum simpul. Hati Alia menjadi tidak keruan. Dia memandang muka Zarul dan Ikwan silih berganti.
“ Emn.. boleh kita cakap sendirian..?” Kata Ikwan dengan tenang.
Alia terasa lidahnya kelu. Dia yakin, Ikwan mahu berterus terang dengannya kini. Terasa air mata mula bertakung di bibir matanya. Alia mengangguk perlahan.
“Lia naik kereta Wan?” Ikwan membuka pintu keretanya. Alia angguk lagi. Dia segera keluar dari kereta kancilnya dan masuk ke dalam kereta Honda Ikwan.
“Zarul balik dulu lah!” kata Alia pada Zarul. Zarul agak kehairanan kerana bakal bosnya mengajak kakak sepupunya masuk ke dalam keretanya pula. Tapi Zarul tidak membantah. Dia masuk ke dalam kereta dan beredar.
“Kita pergi tempat biasa?” kata Ikwan lembut. Alia tidak menyahut. Dia hanya terbayang puncak bukit di mana mereka selalu menghabiskan masa bersantai di situ. Dengan membawa sedikit bekalan, mereka seolah-olah berkelah di puncak bukit itu. Tapi itu dulu, sebelum kehadiran Helina. Alia yakin, Ikwan hendak bercakap tentang hubungan mereka pada hari ini. Mungkin hari ini adalah hari terakhir mereka mengunjungi puncak bukit yang indah itu.
“Kenapa diam?”
Alia menoleh memandang Ikwan. Ikwan melirik padanya sambil terus memandu. “ Emn.. tak ada apa..” Sahut Alia malas.
Sebenarnya dia mahu meluahkan segala yang berbuku di hatinya. Dia mahu tanya tentang Helina dan mengapa Ikwan merahsiakan hubungannya dengan Helina selama ini. Alia ingin sekali mengamuk dan meradang atas sikap Ikwan yang mempermainkan hati dan perasaannya. Namun, Alia hanya membisu, dia tidak tahu hendak berkata apa kepada Ikwan. Cintanya pada Ikwan begitu dalam dan Alia pasrah jika terpaksa mendengar khabar buruk itu hari ini.
Sepuluh minit kemudian mereka sampai di puncak bukit. Suasana tenang dan dingin. Tapi hati Alia semakin ketakutan. Takut menghadapi kata-kata perpisahan dari Ikwan. Ikwan kejam kerana mempermainkan harga dirinya. Alia tidak mahu kelihatan bodoh dengan mengamuk atau melenting pada Ikwan yang nyata menjadikannya sebagai boneka mainan. Itulah tekad Alia. Alia ingin terus bersabar!
“ Kenapa diam saja dari tadi Lia..?” tanya Ikwan lagi. Dia memandang mata Alia seolah-olah mencari-cari sesuatu di situ. Wajah Alia muram saja. Tidak ada apa-apa di matanya kecuali kedukaan.
“Cakaplah apa yang Wan nak cakap..” ujar Alia membuang pandangannya dari wajah Ikwan. Ikwan menarik nafas berat. Sukar untuk memulakan kata-kata.
“ Wan tahu, Alia kecil hati kerana Wan seolah-olah menjauhkan diri dari Lia.. maafkan Wan..” Ikwan mula membuka kata-kata. Alia mengigit bibir menahan sendu di hatinya.
“Lia pun tidak mahu menghubungi Wan lagi.. Lia juga seolah-olah tidak mahu ambil tahu tentang Wan lagi..” Sambung Ikwan.
Alia terus membisu, dia enggan berkata apa-apa. Biarlah Ikwan menyampaikan kata-kata terakhirnya sebelum mereka berpisah. Alia bersiap untuk mendengar kebenaran yang pasti menyakitkan itu.
“Biarlah Wan berterus terang dengan Lia…”
Alia segera membelakangkan Ikwan. Dia tahu apa yang bakal didengarnya. Airmatanya sudah luruh. Ikwan tidak menyedari airmata itu kerana Alia segera menyembunyikan wajahnya dengan menghadap hutan yang tebal.
“ Wan..” suara Alia serak. “ Boleh tak Wan tak payah cakap apa yang Wan nak cakap..” Alia masih membelakangi Ikwan. Suaranya bergetar, Ikwan mula perasan ada pergolakan dalam perasaan Alia. Dia ingin sekali memujuk.
“ Lia.. Wan tahu Lia merajuk! Wan tahu Wan salah.. Kita berdamai o.k?”
Alia segera berpaling ke arah Ikwan. Ikwan terharu melihat airmata Alia yang bercucuran itu. “Sampai hati Wan.. Lia tahu Lia tak sepadan dengan Wan, tapi kenapa Wan tak terus terang dengan Lia? Sepatutnya Wan tak perlu minta maaf dengan Lia.. biarkan saja Lia! Kawin sajalah dengan kekasih hati Wan tu.. sampai hati Wan permainkan perasaan Lia..” Tersembur keluar semua yang berbuku dihatinya. Wajah Ikwan nampak terkejut.
“Kenapa? Wan tak sangka Lia sudah tahu hubungan Wan dengan Helina? Wan fikir Lia tak tahu Wan nak bertunang dengannya? Cukuplah Wan.. jangan nak siksa hati Lia lagi..” Ucap Alia separuh menjerit. Ikwan tercengang memandangnya.
“ Mana Lia dapat cerita ni?”
“ Itu tak penting.. yang penting mengapa Wan permainkan perasaan Lia.. kenapa Wan mahu bersama Lia sedangkan Wan dah ada Helina..”
“ Lia.. Lia.. Lia! Wan tak faham.. mana Lia dapat cerita Wan nak tunang dengan Helina, sumpah Lia! Dia cuma kawan baik Wan dari kecil lagi. Dia bukan kekasih Wan!”
Alia mula diam, tangisnya reda mendengar kata Ikwan. Mereka berpandangan.
“Betul..?” tanya Alia sambil mengesat airmatanya. Ikwan angguk.
“Tapi kenapa Wan tak kenalkan Lia dengan dia? Kenapa Wan jauhkan diri sejak dia datang?” Wan tarik nafas berat. Dia melangkah ke keretanya dan mengambil sesuatu.
“Nah!”
Beberapa keping gambar dihulurkan kepada Alia. Alia membelek semua gambar itu. Semuanya gambar dia bersama Zarul, ketika dalam kereta, di jalan raya dan di perkarangan rumah.
“Kenapa ada gambar Lia dan Zarul..?” tanya Alia tidak faham.
“Kerana gambar inilah Wan menjauhkan diri dari Lia.. beberapa minggu lepas, satu surat dikirimkan pada Wan. Dalam surat itu ada gambar Lia dan Zarul. Kononnya Zarul adalah tunang Lia.. Lia telah ditunangkan oleh keluarga Lia.. Wan pun frust la bila dapat tahu..” cerita Ikwan dengan tenang.
“Tapi kenapa Wan tak tanya pada Lia?” Kata Alia dengan wajah yang lebih cerah. Sisa-sisa airmata sudah hilang.
“Itulah silap Wan! Wan mahu Lia sendiri yang berterus terang dengan Wan.. tapi Lia sikit pun tidak cakap apa-apa, Zarul tinggal serumah dengan Lia .. tapi sedikit pun Lia tidak memberitahu Wan.. tentulah Wan salah faham. Wan geram, marah dan benci pada Lia sebab tu Wan malas nak layan Lia.. malas nak sambut call Lia.. Manalah Wan tahu Zarul tu adik sepupu Lia.. mujurlah dia datang temuduga tadi, Wan masih cam muka Zarul dalam gambar tu. Wan memang nampak Lia dalam kereta tunggu Zarul tadi, tapi Wan tak tegur Lia kerana Wan masih salah faham dengan Lia, tapi lepas temuduga Zarul tadi, Wan tanya Zarul siapa gadis yang tunggu dalam kereta? Barulah Wan tahu Zarul adalah adik sepupu Lia.. barulah Wan tahu selama ni Wan salah faham dengan Lia.. Wan nak minta maaf, Lia?”
Alia termangu mendengar cerita Ikwan. Rupanya ada kisah yang diluar jangkaannya. Siapa pula yang mengambil gambarnya dengan Zarul dan mengatakannya bertunang? Alia keliru.
“Wan tak tunang dengan Helina?”
“Sumpah tidak! Siapa yang cakap ni..”
“Harun.. sepupu Helina! Katanya Wan memang kekasih Helina sebelum Wan bersama Lia lagi.. katanya tak lama lagi Wan akan bertunang dengan Helina.. Lagi pun Wan semakin menjauhkan diri dari Lia sejak dia datang..” jelas Alia. Dia mula ragu dengan kata-kata Harun.
“Mestilah Wan jauhkan diri dari Lia masa tu, sebab Wan marah pasal gambar Lia dengan Zarul.. Wan malas nak kenalkan Lia dengan Helina kerana masa tu Wan benar-benar salah sangka pada Lia.. maaf ye sayang..” Ikwan menarik tangan Alia dan memandang tepat ke matanya. Alia angguk sambil menarik nafas lega. Dia menyangka Ikwan hendak memutuskan hubungan tapi kini sebaliknya.
“Memang benar Harun tu sepupu Helina, tapi hairan mengapa dia nak menghancurkan hubungan kita pula?” Kata Ikwan penuh tanda tanya. Alia angkat bahu. Kini hatinya lega. Gadis cantik itu ternyata tidak ada apa-apa hubungan cinta dengan Ikwan. Rupanya semua masalah itu hanyalah salah faham dan fitnah orang lain. Cemburunya pada gadis itu hilang serta merta.
“Dan hairan.. siapa pula yang ambil gambar Lia serta hantar kat Wan? Sudah jelas ada orang yang mahu musnahkan hubungan kita?” Kata Alia pula.
“Ya! Mungkin Harun juga?” Alia mengganguk tanda setuju dengan kata-kata Ikwan itu. mereka berpandangan. Saling tersenyum. Mereka tidak peduli apakah motif Harun, yang paling penting kini mereka sudah kembali bersama.
“Maaf ya?” tanya Ikwan sekali lagi.
“Lia juga..” Balas Alia.
“Sia-sia saja Wan bencikan Lia.. tahu-tahu cuma salah faham..” Kata Ikwan sambil ketawa kecil. Teringat akan sikapnya beberapa minggu yang lepas. Seluruh isi rumah menjadi tempatnya melepaskan marah. Berbakul-bakul leteran ibu kepadanya kerana sikapnya menjadi garang tidak tentu pasal. Anak-anak buahnya di pejabat pun tidak berani curi tulang, takut pada Ikwan yang tidak semena-mena bertukar angin. Bos yang dulunya peramah dan mesra menjadi bengis tak menentu. Pantang silap sikit adalah yang kena marah! Semuanya pasal gambar yang diterimanya itu. Helina pun selalu merungut dengan perangainya yang selalu berubah angin. Hendak berlawak jenaka pun susah. Kalau senyum pun bagaikan terpaksa!
“BenarkahWan bencikan Lia?” Tanya Alia menduga.
“ Ya! Benci sangat.. benci tapi rindu..ha ha ha.. merana betul Wan menanggung rindu tidak jumpa Lia beberapa minggu. Kadang-kadang Wan harap Lia akan call atau SMS Wan.. tapi bila buka handset.. sunyi saja..” luah Ikwan tentang perasaannya ketika musim dingin hubungan mereka.
“Lia juga.. nak call Wan.. tapi teringat Helina mungkin sedang bersama Wan..” Ujar Alia pula, mereka tertawa bersama. Rupanya mereka sama saja, cemburu buta!
“Zarul cakap Lia tak sihat? Minta hantar balik rumah..” tanya Ikwan dengan muka bimbang. Muka Alia memang pucat saja tadi.
“Emn..” Alia tersenyum nipis. Kini dia kelihatan berseri-seri.
“Lia sakit apa?” tanya Ikwan lagi sambil sentuh dahi Alia.
“Sakit hati..” jawabnya dengan menahan senyum.
“Oh.. rupanya! Sakit hati kenapa boleh senyum?” ujar Ikwan setelah mendapat tahu. Dia turut senyum meleret. Alia hanya menolak bahu Ikwan dengan manja. Ikwan tertawa melihat riaksi Alia.
“Lia..” Panggil Ikwan dengan suara romantis. Alia mendongak ke arah wajah lelaki yang dicintainya itu. Rindu benar hatinya pada Ikwan. Mujurlah semuanya sudah berubah baik.
“Emn..”
“Jom kita kawin?”
Mata Alia terbelalak. Dia menatap wajah Ikwan minta kepastian akan lamaran yang tiba-tiba itu.
“Kenapa? Tak sudi?”Tanya Ikwan lagi.
“Wan lamar Lia?” Angguk.
“Bunga? Cincin? Takkan nak lamar macam ni saja?” usik Alia dengan senyum nakal. Ikwan ketawa besar. Dia menarik Alia masuk ke dalam keretanya. Alia kehairanan.
“Jom kita pergi beli bunga dan cincin!!” balas Ikwan sambil masuk ke dalam perut kereta. Kereta meluncur laju menuju ke bandaraya.
“Mulai saat ini.. kalau ada apa-apa masalah, kita mesti bincang! Jangan simpan sendiri dalam hati.. o.k?” bisik Ikwan sambil memimpin tangan Alia menuju ke kedai bunga terhampir. Alia mengangguk. Wajahnya penuh dengan senyuman bahagia. Dugaan seperti itu mungkin datang lagi. Tapi kalau saling cinta menyintai, kalau saling kasih mengasihi dan kalau saling mempercayai antara satu sama lain, apa pun dugaannya pasti dapat diredah bersama. Ternyata dugaan cinta itu berlalu juga!
Nukilan Mayang – mimieaya@hotmail.com
5 Tanda Si Dia Masih Ingat Kekasih Lama
June 12th, 2007
Melupakan kekasih lama bukannya mudah. Sebab itulah ada sesetengah wanita masih tidak dapat melupakan memori manis bersama bekas teman lelakinya walaupun sudah menemui cinta baru. Berikut ialah beberapa tips yang boleh kamu perhatikan untuk mengetahui apakah kekasihmu itu sudah melupakan bekas kekasihnya atau tidak?
1. Dia sering membandingkan kamu dengan bekas teman lelakinya. Ini bermakna dia sebenarnya masih tidak dapat melupakan bekas teman lelakinya, sebab itulah dia sering mengatakan kamu mengingatkannya terhadap si dia.
2. Dia mengajak kamu membina hubungan lebih serius dengan tergesa-gesa. Misalnya berkenalan tidak sampai beberapa bulan sudah mengajak kamu bertunang. Ini bermakna dia sebenarnya cuba menutup perasaan dirinya yang masih berbelah bahagi dan untuk menyelamatkan keadaan, dia membina komitmen baru.
3. Sikapnya sering berubah-ubah. Semalam layanan yang diberikan terhadapmu cukup mesra. Hari ini, dia seolah-olah cuba menjauhkan diri. Jika ini sikapnya, bermakna dia masih lagi terperanjat gara-gara putus cinta dengan bekas teman lelakinya.
4. Berpura-pura gembira. Salah satu cara untuk melupakan bekas kekasih ialah dengan berpura-pura gembira. Dia bersikap seolah-olah tiada apa yang berlaku, sedangkan dia sebenarnya menahan rasa sedih.
5. Simpan gambarnya. Walaupun si dia memberi alasan bahawa dia dah tak ada apa-apa perasaan dan itu hanyalah sekeping gambar, tapi usah dibiarkan. Bahaya tu! Bermakna kenangan di antara mereka berdua akan tetap dalam ingatannya.
Tiga Malam Tanpa Bintang – Fiq Mentor
June 11th, 2007
Kasih.. maafkan diriku
Banyak dosaku padamu
Tidak terhitung jari jemari daku
Tak dapat dibilang bagai bintang beribu
Sukarnya diriku menebus kekhilafan yang lalu
Kasih.. engkau tak bersalah
Hanya hatiku yang buta
Tulus dan ikhlas kau korban jiwa raga
Dan tanpa belas ku buat kau kecewa
Ku tahu dirimu sukar melupakan segalanya
Tiga malam tanpa bintang
Dan diriku dihimpit penyesalan
Arah tuju kian fana
Kerna hilangnya nyawa dia
Bagaikan siang diselubung gerhana
Kembalikan senda tawa
Pulangkanlah manis disenyum manja
Ku pahatkan keinsafan
Dan patrikan kesetiaan
Sehingga tarikh menafikan nyawa
Kasih…
Untuk download lagu ini, sila klik Tiga Malam Tanpa Bintang.mp3
———————-
Best jugak bila dengar lagu ni..layan!!!
Theme: Contempt by Vault9.
Blog at WordPress.com.
_qmeta=”qc:adt=0;bti=Tentang+Cinta+%28LOVE%29;lan=ms”;_qacct=”p-18-mFEk4J448M”;quantserve(); st_go({blog:’751907′,v:’wpcom’,post:’0′,subd:’cintadearhaniey’,x_theme:’contempt’,x_lang:’ms’,x_dc:’dfw’,x_adt:’0′,x_public:’1′,x_mapped:’0′,x_loggedin:’1′,x_ads:’no’,x_noads:’wrongtype,seen,firefox’,x_plugin:’snap’,x_pagetype:’home’}); addLoadEvent(function(){linktracker_init(751907,0);});
adminbar=adminbar.replace(/%%BLOGHOST%%/g, ‘cintadearhaniey.wordpress.com’); adminbar=adminbar.replace(/%%BLOGHOME%%/g, ‘http://cintadearhaniey.wordpress.com’); adminbar=adminbar.replace(/%%BLOGTITLE%%/g, ‘Tentang Cinta (LOVE)’); adminbar=adminbar.replace(/%%EDITLINK%%/, ”); adminbar=adminbar.replace(/%%URL%%/, ‘cintadearhaniey.wordpress.com/’, ‘mg’); document.write(adminbar); if ( document.createElement ) { var q = document.getElementById(‘wpcombar’); var r = document.createElement(‘div’); r.innerHTML = q.innerHTML; q.parentNode.removeChild(q); r.setAttribute(‘id’, ‘wpcombar’); r.style.zIndex = ’1001′; document.body.insertBefore(r, document.body.childNodes[0]); }


Posted by Haniey











